Rendam kaki Garam Bukit Lada Hitam bagus untuk buang angin
Cara Bancuh Air Garam Mandian dan Rendaman Kaki
Ibu bapa adalah insan yang dituntut untuk berbuat baik. Dari Bahz bin Hakim, bapanya, dari datuknya berkata;
“Aku berkata, wahai Rasulullah, kepada siapakah aku harus berbuat baik?” Baginda menjawab, “Ibumu” aku bertanya lagi, “Kemudian kepada siapa?” Baginda menjawab, “Ibumu.” Aku bertanya lagi, “Kemudian siapa?” Baginda menjawab, “Ibumu.” Aku bertanya lagi, “Kemudian siapa?” Baginda menjawab, ‘Ayahmu, kemudian kerabat terdekatmu.”
-Hadis Riwayat Abu Dawud
Bukan sahaja mendapat ganjaran pahala jika melakukan kebaikan kepada ibu bapa, bahkan akan mendapat dosa besar dengan balasan neraka sekiranya melakukan kejahatan kepada mereka. Termasuklah apa-apa sahaja perbuatan yang membuatkan mereka bersedih dan menangis.
Antara beberapa cara yang boleh dilakukan bagi mengembirakan hati ibu bapa anda adalah;
#1 – Mendengar Dan Menerima Nasihat Ibu Bapa
Seseorang anak yang baik dan mengharapkan keredaan ibu bapanya pasti sangat mendengar kata-kata atau nasihat mereka bahkan tidak mengingkari serta meremehkan permintaan dan arahan mereka.
Adalah suatu kegembiraan bagi ibu bapa sekiranya anak-anaknya sentiasa mendengar arahan serta tidak membelakangi mereka.
#2 – Bercakap Dengan Lemah Lembut Dan Tidak Berkeras
Bercakap baik dengan penuh sopan, lemah lembut dan tidak kasar bukan sahaja mengembirakan ibu bapa, malah melegakan hati serta sentiasa membuat ibu bapa merahmati anaknya itu.
Malah berbicara dengan baik kepada mereka juga adalah tuntutan agama terhadap semua anak.
#3 – Mendoakaan Ibu Bapa
Jangan sesekali lupa untuk mendoakan mereka. Doakanlah agar mereka sentiasa diberkati, dirahmati Allah selalu dan sentiasa sihat sejahtera.
Anak yang baik adalah anak yang sentiasa ingat akan ibu ayah mereka dalam doanya.
#4 – Memberikan Hadiah Dan Buah Tangan
Ibu bapa tidak sesekali mengharapkan apa-apa pemberian daripada anaknya. Apatah lagi wang ringgit.
Namun sebagai anak yang cuba menjadi baik, beri atau belilah apa-apa pemberian kepada mereka. Bahkan sudah menjadi tanggungjawab anak-anak untuk menyediakan wang bulanan kepada mereka sekiranya mampu.
#5 – Melakukan Suruhan Dan Permintaan Mereka
Anak yang taat adalah yang sentiasa melakukan apa-apa saja permintaan dan suruhan ibu bapa mereka selagi ianya tidak menyalahi syariat dan undang-undang.
Sangat mengembirakan jika mereka mendapati anak mereka sangat mentaati mereka. Walaupun kadang-kadang kita juga mempunyai kehendak dan pendapat sendiri, tetapi dahulukanlah permintaan mereka kerana itulah kebahagiaan mereka.
Siapa lagi yang akan menunaikan permintaan mereka jika bukan anak kandung sendiri?
#6 – Hubungi Atau Melawat Mereka Jika Berjauhan
Sekiranya boleh, tinggallah bersama-sama dengan ibu bapa, ataupun keraplah pulang menjenguk mereka untuk mengetahui keadaan mereka. Dengan selalu melawat mereka kita akan sentiasa mengetahui tahap kesihatan mereka dan keadaan semasa mereka.
Selain itu, keraplah menghubungi mereka melalu telefon atau sebagainya. Ini juga adalah cara untuk mengeratkan lagi hubungan kita dengan ibu bapa, bahkan anak-anak kita dengan datuk dan neneknya.
Anak yang baik sudah tentu tidak akan meninggalkan ibu bapanya berlama-lamaan tanpa apa-apa berita.
#7 – Membawa Mereka Bersiar
Sekiranya berkemampuan dari aspek wang dan masa, bawalah ibu dan bapa berjalan-jalan, bercuti ataupun bersiar-siar ke mana-mana tempat yang mereka sukai.
Mereka sudah letih menjaga dan membesarkan kita, dan inilah masanya untuk kita membalas budi dengan memberi mereka rehat yang secukupkanya.
Jika lebih mampu, hantarlah ibu bapa kita menunaikan haji atau umrah, itulah hadiah terbesar anak-anak yang wajar diberikan kepada ibu bapa.
#8 – Menjaga Mereka Sewaktu Tidak Sihat
Anak adalah harta bagi ibu bapa, anak juga permata, bahkan anak-anak adalah segalanya. Di waktu sihat anak adalah peneman, begitu juga di waktu sakit anak adalah penjaga.
Sebagai anak yang baik, sudah pasti akan berada di sisi ibu apanya untuk menjaga, merawat dan menemani ibu atau bapanya yang sakit itu.
Hal itu sangat menyenangkan bagi mereka walau dalam keadaan tidak sihat sepenuhnya. Sebenarnya itulah ubat yang terbaik.
#9 – Membelikan Barangan Kesukaan Mereka
Ibu bapa ada kalanya mempunyai keinginan dan kehendak sendiri yang adakalanya tidak mampu dibeli oleh mereka.
Dapatkanlah barangan kesukaan mereka itu walaupun tidak diminta. Pasti mereka akan suka dan gembira.
#10 – Menghormati Rakan-Rakan Mereka
Rakan-rakan ibu bapa juga mestilah dihormati dan dihargai. Ini kerana mereka juga sebahagian daripada kesenangan ibu bapa kita.
Sekiranya kita berbuat baik dan menghormati mereka, pastilah ibu bapa kita juga gembira dan berasa senang hati.
#11 – Tidak Melakukan Hal Yang Tidak Disukai Mereka
Melakukan hal yang tidak disukai mereka adalah hal yang mengecewakan mereka. Ibu bapa selalunya akan marah pada anak-anak sekiranya melakukan hal yang tidak baik dan tidak berfaedah seperti mengambil najis dadah, bergaduh, mencuri atau sebagainya.
Jadi elaklah terlibat dalam hal yang mengecewakan ibu bapa dan gembirakanlah hati mereka. Oleh itu, kegembiraan ibu bapa adalah kegembiraan kita juga, lakukanlah apa-apa juga demi menyenangkan hati mereka.
Bukan sahaja mendapat keberkatan, tetapi Allah juga memberi ganjaranNya untuk anak-anak yang berbakti kepada ibu bapa ini.
Jangan sesekali berasa rugi dan membuang masa, tetapi rasa menyesallah sekiranya tidak berbuat apa-apa usaha dalm membahagiakan mereka, selagi mereka masih ada di muka bumi ini.